KAK JUE BLOG'S

Melatih Guru Arus Perdana Kendali Pelajar Khas Galakkan Pendidikan Inklusif



Asso Prof Datuk Dr Junaidy Abu Bakar (Bernama file picture)


Melengkapkan guru-guru aliran perdana dengan kemahiran untuk mengenal pasti pelajar berkeperluan khas bukan sahaja akan membolehkan sekolah-sekolah mengendali mereka dengan lebih baik tetapi juga menggalakkan program pendidikan inklusif kerajaan, kata pendidik.

Program pendidikan inklusif Kementerian Pendidikan bertujuan mengintegrasi kanak-kanak yang bermasalah untuk mengikuti pembelajaran di sekolah-sekolah aliran perdana, dengan meletakkan mereka di dalam kelas biasa bersama pelajar normal.

Kementerian juga mempunyai program pendidikan khas bersepadu, yang menyediakan kelas-kelas khas untuk pelajar berkenaan di sekolah-sekolah aliran perdana.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata langkah tersebut akan membantu menangani masalah kekurangan guru yang mempunyai kepakaran mengajar pelajar khas di sekolah-sekolah biasa.

Kanak-kanak yang hiperaktif dan autistik atau mempunyai kecacatan visual, pendengaran dan pertuturan, mahupun masalah pembelajaran dikategorikan sebagai pelajar khas.

"Beberapa sekolah (aliran perdana) mempunyai pelajar khas tetapi kekurangan guru berkelayakan untuk mengajar mereka. Kebiasaannya hanya ada seorang atau dua guru yang terlibat memantau murid berkeperluan pendidikan khas ini," Junaidy memberitahu Bernama.

Pada 24 Feb lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata guru aliran perdana akan diberi latihan pendidikan khas dan kemahiran bagi membolehkan mereka mengenal pasti murid dan pelajar berkeperluan khas.

"Bukan semua guru dapat memahami pelajar-pelajar yang memerlukan perhatian ... ada juga guru di sekolah-sekolah aliran perdana yang memahami (keperluan pelajar khas) tetapi tidak mempunyai kemahiran khusus berbuat demikian.

"Oleh itu, kementerian akan melatih guru-guru bagi memastikan pelajar-pelajar berkeperluan khas mendapat peluang pendidikan sepertimana pelajar di sekolah-sekolah biasa," katanya.

Junaidy berkata UPSI memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk menjadikan program pendidikan inklusif lebih berjaya dengan mewajibkan semua guru pelatih yang mengambil program ijazah sarjana muda pendidikan supaya menduduki kursus pendidikan inklusif untuk dua semester. Peraturan itu dilaksanakan mulai September tahun lepas.

"Kursus (pendidikan inklusif) ini bertujuan mendedahkan kesemua guru pelatih kepada beberapa kemahiran asas dalam mengendalikan murid berkeperluan khas," katanya.

Sehingga kini sejumlah 10,300 guru, yang menerima ijazah sarjana muda pendidikan di bawah program pengajian jarak jauh (PJJ) UPSI, telah mengambil kursus pendidikan inklusif.

Menurut beliau, kurikulum program pendidikan khas Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), yang menggabungkan elemen pendidikan dan perubatan bertujuan menjadikan para guru pendidikan khas lebih mahir mengendalikan pelajar mereka.

"Sebelum kurikulum dikaji semula pada 2014, program ini hanya merangkumi elemen pendidikan, namun setelah dikaji semula, elemen sains perubatan dan sains kesihatan bersekutu ditambah ke dalamnya. Jadi, 70 peratus daripada kurikulum pendidikan khas semasa terdiri daripada pendidikan dan 30 peratus pula, perubatan dan sains kesihatan bersekutu untuk meningkatkan kemahiran pelatih kami.

"Pelatih kami juga tertakluk kepada pelbagai latihan yang merangkumi, antara lain, terapi pertuturan, terapi pekerjaan dan audiologi, yang diadakan di makmal-makmal terapi kami sendiri," katanya.

Seorang guru pendidikan khas, Siti Aishah Mohd Salim, 30, yang menyambut baik langkah kerajaan untuk melengkapkan guru-guru aliran perdana dengan latihan pendidikan khas, berkata bahawa ia akan membolehkan mereka mengenal pasti kanak-kanak kurang upaya di peringkat awal dan boleh membantu mereka untuk memberi tumpuan kepada kemampuan dan bakat mereka.

"Sesetengah pelajar berkeperluan khas juga mempunyai bakat yang besar, dan jika diberi peluang, mereka pasti akan menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

"Mereka memerlukan tunjuk ajar daripada guru dan sokongan ibu bapa bagi menyuntik semangat agar yakin dengan kemampuan diri dan tidak mudah mengalah," katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan, yang merupakan sekolah biasa namun dilengkapi program pendidikan khas integrasi (PPKI).

Mengulas kejayaan dua pelajar pendidikan khas Kolej Komuniti Selayang, Yap Hee Heng dan Muhamad Safiuddin Rosli yang akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Abilympics Antarabangsa di Bordeux, Perancis bulan depan, beliau berkata kedua-dua pelajar itu merupakan bukti bahawa golongan kurang upaya juga boleh cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi.

Yap 21, dan Muhamad Safiuddin, 23, kedua-duanya bisu dan cacat pendengaran, akan menyertai peserta dari 55 negara untuk menyedia dan menghidangkan masakan Peranchis dalam pertandingan yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mac.

"Sebagai guru pendidikan khas, kejayaan mereka membakar semangat saya dan sekarang saya lebih nekad untuk membimbing mereka agar lebih maju.

"Berdasarkan pengalaman sendiri dalam mempersiapkan pelajar menyertai sukan olahraga pelajar PPKI ke peringkat kebangsaan, saya sedar bahawa pelajar-pelajar berkeperluan khas ini mempunyai kelebihan dan bakat besar," katanya.

Berkongsi kesukaran yang dialami, Siti Aishah berkata sukatan baharu pendidikan hendaklah dibuat untuk pelajar berkeperluan khas di sekolah menengah, memandangkan kini sukatan yang sama digunakan di kedua-dua sekolah rendah dan menengah.

"Sukatan pelajaran sekolah rendah itu kurang sesuai untuk kemahiran pelajar sekolah menengah, yang sepatutnya lebih menekankan aspek kemahiran vokasional. Sukatan pelajaran yang ada sekarang lebih sesuai untuk pelajar sekolah rendah," katanya.

Beliau berkata guru-guru PPKI banyak menghabiskan masa dengan bebanan kerja-kerja perkeranian, yang menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tugas dengan berkesan.

Nurhayati Zainudin, yang menjadi guru pendidikan khas selama lebih daripada satu dekad, berkata kekurangan program-program latihan, bengkel dan alat bantuan mengajar berkaitan pendidikan khas adalah antara cabaran yang dihadapi dalam tugasnya.

"Jumlah pelajar (keperluan khas) dalam setiap kelas juga perlu dikurangkan bagi membolehkan kesemua mereka mendapat perhatian guru sepenuhnya. Setiap kelas mempunyai pelajar dengan pelbagai jenis ketidakupayaan kognitif yang berbeza dan masalah tingkah laku, di mana kaedah berlainan perlu digunakan untuk mengajar mereka," kata Nurhayati, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (Felda) Bandar Baru Serting di Jempol, Negeri Sembilan.

Beliau berkata bahawa menyediakan latihan pendidikan khas bagi guru-guru biasa adalah satu langkah yang baik kerana ia membolehkan tenaga pengajar menggunakan kepakaran mereka untuk mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran kognitif dan fizikal. Ia juga membolehkan guru-guru aliran perdana menjadi lebih mesra orang kurang upaya.

Katanya langkah berkenaan dapat memudahkan sekolah menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pendidikan khas dengan berkesan jika semua guru memiliki kemahiran dalam mengendalikan pelajar berkeperluan khas.

"Secara tidak langsung seluruh warga sekolah, pentadbir, guru, pelajar dan pekerja boleh menerima keadaan dan memahami ciri pelajar pendidikan khas dengan berlapang dada (tidak lagi merungut atau kurang sabar)," katanya.

Tidak menolak bahawa suatu masa dahulu pendidikan khas disifatkan sebagai pendidikan kelas dua dan dipandang rendah, Nurhayati berkata masyarakat kini mempunyai persepsi lebih positif terhadap golongan berkeperluan khas.

"Hari ini banyak pusat berkaitan OKU dibuka dan dikembangkan peranannya seperti Permata Kurnia (untuk pendidikan kanak-kanak autisme). Kerajaan juga prihatin apabila lebih banyak program pendidikan khas dibuka di kebanyakan sekolah bagi menampung permintaan ibu bapa," katanya.

Sudah tiba masanya institusi kemahiran juga mengambil peranan dengan memberikan peluang dan ruang kepada pelajar OKU untuk mengasah bakat dan kemahiran yang mereka miliki, kata Nurhayati.



-- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages