KAK JUE BLOG'S

Antara Mampu Beli Dan Mampu Tunjuk



Mesti ramai yang menarik nafas lega apabila Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan "sudah sampai masanya kerajaan campur tangan dalam mengawal dan menentukan harga rumah".

Kenyataan beliau itu merujuk kepada kemelut harga rumah yang kini melambung tinggi dan tindakan perlu diambil untuk tidak membiarkan harga ditentukan semata-mata oleh kuasa pasaran.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Perumahan Penjawat Awam anjuran bersama CEUPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) dan Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) baru-baru ini.

Kuasa pasaran dalam sektor perumahan ini sudah tentu bukan sahaja merujuk kepada permintaan, tetapi juga sebahagian besarnya angkara ejen perumahan.

Kalau hendak diikutkan, sudah terlalu lama keadaan ini dibiarkan berlarutan dengan pembeli kadang kala menjadi "mangsa kerakusan ejen perumahan".

Penulis pernah menemui iklan rumah "landed property" dengan dua harga yang berbeza. Harga yang diperoleh daripada pemilik rumah adalah sekitar RM80,000 lebih rendah daripada harga yang disebut oleh ejen perumahan untuk rumah yang yang sama!

Harga rumah khususnya hartanah "landed property" di sekitar Kuala Lumpur kini berada pada tahap yang hanya golongan yang berpendapatan lebih lima angka mampu memilikinya.

Mereka yang di luar daripada kumpulan pendapatan sedemikian hanya sekadar mampu tunjuk sahaja!

Tinjauan rambang ke atas iklan dalam talian menunjukkan harga rumah di sekitar Kuala Lumpur untuk "landed property" dengan pegangan bebas adalah tidak kurang daripada RM800,000.

Itu pun bukan rumah baru tetapi rumah yang sudah dibina 20 hingga 30 tahun lepas.

Seorang yang penulis kenal membeli rumah di sekitar Setapak tersenyum lebar apabila memberitahu rumah dua tingkat yang dibeli lebih 20 tahun lepas (beliau adalah pemilik kedua) pada harga sekitar RM300,000 kini dikatakan bernilai sekitar RM1.2 juta!

Rumah di kawasan yang beliau diami itu kini melambung tinggi harganya kerana sudah ada sebuah gedung membeli-belah besar di samping jalan yang sudah dinaik taraf.

Ada kawan yang membeli kondo tiga bilik di kawasan Kuala Lumpur pada harga sekitar $190,000 pada tahun 2003 dan nilai pasarannya sekarang dianggarkan RM700,000.

Carian dalam talian kadang kala menemui iklan yang, maaf cakap, mungkin tidak munasabah harganya.

Ada rumah yang dikategorikan sebagai 'banglo setingkat' di pinggir Kuala Lumpur yang rata-rata diperbuat daripada papan dan kelihatan begitu usang diletakkan nilai jualan antara RM400,000 dan lebih RM500,000 !

Walaupun tanahnya luas, tetapi ia hanya berstatus sewa pajak.

Jika pada awal 90-an pembeli masih boleh mendapatkan rumah dua tingkat bawah harga RM200,000 kini harga sedemikian mungkin hanya untuk rumah flet, itu pun 'second hand atau subsale'.

Sebagai contoh, seorang rakan penulis membeli sebuah flet di Shah Alam pada sekitar 2007 pada harga RM125,000 dan kini nilai harta itu kira-kira RM210,000.

"Sekarang tak dapat dah," kata penjawat awam yang mengambil pinjaman bank selama 20 tahun dengan bayaran sekitar RM800 sebulan.

Bukan sahaja berdepan dengan harga rumah yang tinggi, mereka yang hendak membeli rumah sebenarnya perlu juga mempunyai wang yang banyak untuk menampung bayaran Perjanjian Pinjaman Bank, bayaran untuk Perjanjian Jual dan Beli dan duti setem.

Seorang pegawai bank yang pernah penulis hubungi untuk bertanyakan kemudahan pinjaman rumah menganggarkan bayaran duti setem sekitar 2.0 hingga 2.5 peratus daripada harga jualan rumah.

Timbalan Perdana Menteri pada konvensyen dua hari itu juga menyebut beliau bersetuju dengan saranan supaya pegawai dan kakitangan kerajaan yang membeli rumah menerusi Lembaga Perumahan Penjawat Awam dikecualikan membayar duti setem.

Penulis berharap pengecualian ini turut melibatkan semua peminjam perumahan, mungkin dikuatkuasakan untuk tempoh tertentu, sementelah keadaan ekonomi yang tertekan sekarang.

Bagilah peluang untuk mereka yang ingin memiliki rumah untuk membeli rumah dan bukan setakat mampu tunjuk sahaja setiap kali melihat iklan rumah!.






Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages