Tekanan perasaan yang dibiarkan berterusan dan tidak dikawal boleh menyebabkan seseorang itu cenderung mengalami sakit mental, menurut pakar psikologi dan kaunseling.
Pengerusi Program Sarjana Muda Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Siti Salina Abdullah berkata adalah perlu bagi seseorang itu sedar bahawa dirinya mengalami tekanan serta sentiasa berfikiran positif untuk bertemu kaunselor bagi mendapatkan bantuan sewajarnya, dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Beliau berkata faktor budaya masyarakat tempatan yang enggan berjumpa dan berkongsi masalah dengan kaunselor menyebabkan mereka sentiasa dibelenggu tekanan yang tiada penghujung, dan lebih membimbangkan jika mereka mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah tersebut.
" Ini kerana mentaliti masyarakat kita yang melihat tugas dan peranan kaunselor hanya dalam menangani masalah mental. Bertemu kaunselor bukan bererti seseorang itu sakit mental. Itu tidak tepat," katanya kepada Bernama.
Siti Salina menjelaskan bahawa fungsi kaunselor sangat luas iaitu membantu meningkatkan kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan melalui perkhidmatan pencegahan, pemulihan dan bimbingan.
"Fungsi kaunselor adalah untuk membantu individu membuat perubahan dan penyesuaian. Individu mungkin juga bertemu kaunselor kerana perlu menyesuaikan diri berikutan perubahan persekitaran, tekanan kerja mahupun pemilihan kerja," tambahnya.
UBAH PERSEPSI MASYARAKAT
Siti Salina menjelaskan, menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), kaunseling adalah proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling dalam mencapai suatu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hanyat klien.
Oleh itu, tambah beliau, piawaian dan kelayakan latihan kaunselor merangkumi aspek-aspek tertentu antaranya identiti profesional, kepelbagaian sosial dan budaya, pertumbuhan dan perkembangan manusia, pengujian dan pengukuran psikologi serta penyelidikan dan penilaian program.
Beliau yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi UMT berkata fungsi sebenar kaunselor perlu diperjelaskan kepada masyarakat bagi mengubah persepsi terhadap perkhidmatan golongan kaunselor di negara ini.
Pada 9 Mac lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengisytiharkan Oktober sebagai bulan kaunseling kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, mulai Oktober tahun ini sesi kaunseling secara percuma dilancarkan di pelbagai tempat termasuk sekolah, institusi pengajian, tempat kerja dan tempat awam di seluruh negara bagi membantu masyarakat mengurangkan pelbagai tekanan kesan daripada faktor-faktor seperti terlalu penat, masalah keluarga, masalah hubungan dengan rakan dan pasangan serta kewangan.
Siti Salina berkata perkhidmatan kaunseling juga tidak hanya terhad kepada golongan dewasa malah merangkumi semua peringkat umur dan gender termasuk kanak-kanak, remaja dan warga tua.
"Jika dilihat kepada bidang perkhidmatan yang ditawarkan oleh kaunselor, mana-mana individu boleh mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor dalam apa juga situasi mereka. Mungkin mereka boleh menyertai kelompok bimbingan, berkongsi bukan sahaja dengan kaunselor tetapi juga ahli kelompok lain yang mampu memberi sokongan," katanya.
KAUNSELOR 'PAKAR RUJUK'
Sementara itu, seorang kaunselor di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Techonolgy (UniKL MIMET), Lumut, Perak, Rahmat Abdul Rahman berkata kesedaran masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunselor sebagai 'pakar rujuk' masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.
Ini kerana, katanya setiap hari manusia akan berdepan dengan pelbagai konflik yang boleh menjejaskan emosi sehingga membuatkan sesetengah individu boleh hilang pertimbangan diri.
"Individu bermasalah ini bukan hanya akan memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga orang sekeliling mereka. Contohnya, kes seorang suami yang membunuh isterinya akan mendatangkan kesan buruk kepada anak-anak mereka," katanya.
Jelas Rahmat, tugas seorang kaunselor adalah lebih kepada mendengar dan menjadi 'tempat' klien meluahkan perasaan serta berkongsi masalah.
Tambahan pula, beliau berkata sudah menjadi lumrah bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, manusia memerlukan teman untuk bercakap dan berbincang masalah yang meruntun kehidupan.
"Seseorang itu tidak akan menyedari yang dirinya bermasalah sehinggalah apabila bertemu kaunselor, dan berikutan pertemuan itu (kaunselor dan klien), maka sedikit demi sedikit masalah terutamanya yang melibatkan soal perasaan dan mental akan dapat dileraikan.
"Perlu diingat, semakin lama masalah dipendam, ia akan membahayakan kesihatan mental dan akhirnya menyebabkan masalah penyakit mental sehinggakan ada yang mengambil jalan membunuh diri," katanya.
PERJANJIAN KERAHSIAAN
Menyentuh isu kerahsiaan antara klien dan kaunselor, Rahmat berkata bagi sesi kaunseling bersama kaunselor berdaftar, kaunselor-klien perlu mengisi borang perjanjian kerahsiaan pada setiap pertemuan dan perbincangan.
Jika melanggar perjanjian, tindakan undang-undang boleh diambil.
Tambah beliau, kepercayaan antara klien dan kaunselor akan wujud apabila terjalin hubungan baik kedua-dua pihak, sekali gus membantu proses perubahan klien itu.
"Sebenarnya tiada jangka masa atau jumlah pertemuan yang khusus ditetapkan untuk seseorang menjalani sesi kaunseling...masa paling sesuai adalah setengah jam. Kebiasaannya, permulaan sesi kaunseling bermula dengan kaunselor membina hubungan dengan klien, meneroka dan memahami isu yang dihadapi klien.
"Kemudian kaunselor akan mengenal pasti tujuan dan matlamat klien menghadiri sesi kaunseling dan dari situ kaunselor akan merangka rawatan yang sesuai untuk kliennya," jelasnya.
Namun, Rahmat mengingatkan agar individu yang ingin mendapatkan khidmat kaunselor supaya memastikan kaunselor tersebut berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa jumlah kaunselor di negara ini yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia ialah sebanyak 6,450 orang dan jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat dan kehidupan yang semakin mencabar.
Sehubungan itu Rahmat berharap agar lebih ramai golongan kaunselor dapat dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi demi membantu meningkatkan kualiti hidup untuk kesejahteraan rakyat.
-Bernama
No comments:
Post a Comment