KAK JUE BLOG'S

Perit Bahang El Nino Dan Bekalan Air


Bila berlaku musim panas sekarang, mesti ramai yang mula berasa cemas memikirkan kekurangan bekalan air dan catuan yang mungkin terpaksa dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan.

Kalau ini berlaku, ia bukanlah kali pertama.

Seperti kata S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), sejak tahun 2014, beberapa insiden kekurangan bekalan air mentah serta insiden pencemaran air mentah telahpun berlaku.

Keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan air terawat dan memaksa catuan air dilakukan.

Kata beliau, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang telah mengalami beberapa catuan air sejak tahun 2014 sehingga kini.



KURANG HUJAN

Cuaca panas yang sedang melanda negara dikaitkan antaranya dengan fenomena El Nino yang berpunca daripada pemanasan lautan yang mencetuskan keadaan cuaca luar biasa.

Di tempat-tempat tertentu, fenomena ini mengakibatkan banjir teruk dan kemarau berpanjangan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengeluarkan kenyataan mengenai cuaca panas seawal Januari 2016 lagi.

Cuaca panas dan kering yang pada masa itu melanda Perlis dan Kedah dilaporkan dijangka dirasai juga di seluruh Semenanjung.

Keadaan cuaca panas serta kering luar biasa itu dijangka berlarutan dari bulan Januari hingga Mac 2016 dan dikaitkan dengan kejadian fenomena El Nino.

Turut terkesan dengan cuaca panas itu ialah Sabah dan Timur Sarawak.

Fenomena El Nino, menurut MOSTI, dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 peratus hingga 60 peratus sementara suhu pula dijangka meningkat 0.5 darjah Celsius hingga 2.0 darjah Celsius, berbanding biasa.

Kejadian Ekuinoks yang berlaku pada 20 Mac lepas dijangka menambah kepada cuaca panas hinga bulan April.

Sehingga 18 Mac 2016, suhu tertinggi dicatat ialah 39.1 darjah Celsius iaitu di Alor Setar, Kedah sementara di Chuping, Perlis, suhu pada tarikh yang sama ialah 38.9 darjah Celsius.

Menurut rekod MOSTI, Chuping, Perlis pernah mencatat suhu 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998 sewaktu fenomena El Nino melanda kuat negara.

Perkara yang perlu diawasi akibat suhu melampau ialah gelombang haba, situasi yang boleh menyebabkan risiko kesihatan iaitu strok haba.

Menurut MOSTI, bagi Malaysia, ada dua situasi yang boleh menyumbang kepada gelombang haba.

Ambang gelombang haba berlaku apabila, satu, suhu tertinggi harian (atau suhu maksimum) sesuatu tempat telah mencapai 35 darjah Celsius untuk lima hari berturut-turut dan ia melebihi 2 darjah Celsius daripada purata jangka panjang suhu maksimum.

Situasi kedua, apabila suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah Celsius untuk tempoh tiga hari berturut-turut untuk tempat berkenaan.


CUACA PANAS DAN TABURAN HUJAN

Ketika cuaca panas, harapan untuk hujan begitu menggunung tinggi. Sehinggakan ada yang rela Kuala Lumpur dilanda banjir kilat hanya inginkan hujan lebat kerana tidak tahan dengan perit bahang cuaca panas.

Sememangnya ada hujan sejak beberapa hari lepas terutamanya di sebelah petang meskipun ada rakan-rakan yang merungut hujan di kawasan mereka macam pakai kad Touch N Go, terlalu sedikit dan sekejap.

Menurut Piarapakaran, musim panas banyak mempengaruhi taburan hujan dan akan menyebabkan ia berkurangan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila musim panas dipengaruhi El Nino.

"Pihak AWER telahpun berulang kali menegaskan bahawa kawasan yang mempunyai litupan hutan dara membantu mengurangkan impak musim panas.

"Apabila kawasan-kawasan hutan dara digondol dan guna tanah ditukar, keupayaan alam sekitar mengawal cuaca ekstrem juga akan berkurang," jelas aktivitis alam sekitar ini lagi, sambil menambah perubahan kepada guna tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Contohnya, hutan dara yang tidak diusik mengawal taburan hujan tempatan yang akan membantu mengekalkan aras air aliran sungai semasa musim panas. Kawasan perladangan walaupun mempunyai tumbuhan hijau, ia tidak boleh berfungsi seperti hutan dara! Daun yang hijau tidak bermakna ia adalah hutan," katanya.


PENCEMARAN AIR

Musim panas dan taburan hujan juga ada kesan sampingannya. Air hujan membantu mencairkan bahan-bahan terlarut dalam air sungai.

Sekiranya hujan berkurangan, kandungan bahan-bahan terlarut dalam air sungai meningkat dan akan wujud situasi di mana beberapa loji perawatan air ditutup disebabkan masalah pencemaran sebegini.

"Secara umumnya masalah pencemaran amonia adalah perkara yang akan berulang di beberapa loji perawatan air.

"Untuk mengelakkan masalah ini, pihak AWER telah pun menyeru pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengguna kemudahan pra-rawatan bagi mengurangkan kandungan ammonia.

"Jika kandungan amonia melampaui tahap yang ditetapkan sistem pra-rawatan ini akan mula berfungsi untuk mengurangkan kandungan amonia. Ini akan membantu loji-loji perawatan air terus berfungsi tanpa gangguan," jelas Piarapakaran.

Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi kerajaan negeri proaktif mengenal pasti lokasi yang berpotensi berlaku pencemaran air selain daripada masalah amonia.

"Ini dapat membantu mengelakkan pencemaran yang boleh menyebabkan gangguan kepada operasi loji perawatan air," katanya.


PARAS EMPANGAN AIR

Kita pernah berdepan dengan situasi ramalan hujan tetapi tidak hujan atau jangkaan panas, tiba-tiba hujan mencurah-curah sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat.

Piarapakaran berpandangan, ramalan cuaca di Malaysia tidak dapat dijadikan sebagai asas perancangan untuk menangani situasi kekurangan bekalan air mentah.

Sebaliknya, beliau menyarankan kerajaan patut menjadikan paras air empangan sebagai kayu ukur untuk perancangan semasa musim panas.

Sehingga 22 Mac lepas, lima buah empangan air di negara ini menjunam di bawah paras 50 peratus, iaitu Empangan Labong (Johor) 14,4 peratus kapasiti, Gemencheh (Negeri Sembilan) 22.2 peratus, Bukit Kwong (Kelantan) 31.5 peratus, Padang Saga (Kedah) 35 peratus dan Timah Tasoh (Perlis) 40.8 peratus.

Antara usaha yang pernah dijalankan kerajaan untuk menangani masalah kekeringan air di empangan ialah dengan melakukan kaedah pembenihan awan di empangan yang terjejas.

"Pembenihan awan menelan belanja dan tidak boleh dilakukan secara membuta tuli. Taburan dan saiz awan yang cukup besar serta lokasi yang sesuai sentiasa menjadi cabaran.

"Kita juga perlu sedar bahawa saiz dan taburan awan dipengaruhi oleh musim panas juga. Jika seluruh dunia bersiap sedia untuk menghadapi El Nino, saya rasa mesejnya cukup kuat untuk Malaysia bersedia.

"Jika kita terlepas peluang untuk menjalankan pembenihan awan, maka bukan senang untuk mencari taburan awan yang sesuai semasa musim panas," kata Piarapakaran, sambil menambah cuaca adalah di luar kawalan manusia dan bersedia untuk menangani situasi terburuk adalah penting.

-BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages