KAK JUE BLOG'S

Syarat Lebih Ketat Pelaburan Baharu Perlu Untuk Kurangkan Pekerja Asing - Sultan Perak


                              Sultan Nazrin Shah

TAIPING, 22 Mac, Kerajaan perlu lebih selektif serta mengenakan syarat lebih ketat terhadap aspek guna tenaga ketika memberi kelulusan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dan pas kerja untuk sektor perkhidmatan bagi mengurangkan kebanjiran pekerja asing.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pelaburan asing di negara ini hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara dan pekerjaan yang ditawarkan seharusnya membuka peluang kerja kepada warga tempatan.

"Tidaklah membawa manfaat kepada negara apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberi kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk," titah baginda ketika merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini.

ADTEC Taiping merupakan satu daripada 32 institut kendalian Jabatan Tenaga Manusia dan menawarkan tujuh kursus sepenuh masa peringkat diploma termasuk Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan Teknologi Kejuruteraan Jaminan Kualiti.

Baginda bertitah berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri pas lawatan kerja sosial yang dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada 2014 kepada 2.135 juta tahun lalu.

"Bilangan pekerja asing tanpa izin dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja. Jika andaian itu benar, bermakna ketika ini terdapat lebih 4 juta warga asing sedang bekerja di Malaysia," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah tahun lalu pekerja asing menghantar balik wang ke negara asal berjumlah RM34.7 bilion Ringgit melalui saluran rasmi dan ia bersamaan dengan 2.37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Dianggarkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana sebahagian daripada penghantaran wang ke negara masing-masing, turut dilakukan melalui saluran yang tidak rasmi," titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah syarat lebih ketat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara menanggung kos yang tinggi kelak.

"Mendapatkan pas kerja untuk warga asing, kelihatan sebagai jalan senang yang semakin dijadikan opsyen oleh majikan untuk kepentingan keuntungan jangka pendek urus niaga tanpa menghiraukan pelbagai implikasi negatif jangka panjang," titah baginda.

Sultan Nazrin turut memuji keputusan Kerajaan Persekutuan memberhentikan pengambilan pekerja asing baharu yang berkuat kuasa serta merta sebagaimana diumum Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 12 Mac lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang telah tamat tempoh visa pekerjaan.

Sultan Perak juga bertitah majikan tidak harus terlalu cepat melabelkan secara umum bahawa tenaga kerja tempatan tidak mahu melakukan pekerjaan dalam kategori "3D" - "Dirty, Dangerous and Demeaning" iaitu kotor, bahaya dan merendahkan martabat.

Titah baginda walaupun tanggapan tersebut mempunyai asas tertentu, namun ia perlu ditangani dengan pendekatan lebih komprehensif termasuk memberi imbuhan menarik selain memperkenalkan penggunaan teknologi yang dapat meminimumkan guna tenaga manusia.

"Demi kepentingan jangka panjang negara, demi memelihara martabat kedaulatan negara bangsa yang merdeka, pendekatan lebih strategik wajib diterokai untuk meminimumkan guna tenaga daripada terlalu bergantung kepada warga asing.

"Warga sewajibnya membantu dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan situasi, apabila negara sudah mula terlalu bergantung dan kelihatan semakin cenderung bergantung pada tenaga kerja asing," titah baginda.

-BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages