KAK JUE BLOG'S

RTM Suburkan Perpaduan Bangsa, Rancakkan Pembangunan Negara - PM Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memainkan peranan yang besar dalam menyuburkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa sejak penubuhannya 70 tahun lepas.

Beliau berkata RTM, yang ditubuhkan pada 1 April 1946, turut merancakkan pembangunan negara dan membina imej kerajaan yang dipilih rakyat.

"Sejak ditubuhkan pada 1946, RTM masih merupakan antara medium penyalur maklumat utama negara yang benar, tepat dan terkini.

"Selamat menyambut Ulang Tahun yang ke-70, RTM Setia Bersama, Membina Negara," katanya dalam kenyataan Khamis sempena ulang tahun RTM esok.

Perdana menteri berkata selain menjadi penyiar berita dan maklumat, kemajuan industri seni dan kreatif tanah air juga bermula di RTM di mana ramai bakat baharu negara dilahirkan agensi itu sejak dahulu hinggalah sekarang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula berkata walaupun dihambat pelbagai cabaran semasa dan kemajuan teknologi terkini terutamanya kemunculan media sosial, RTM terus konsisten berperanan sebagai sumber maklumat rakyat yang berwibawa dan dipercayai.

Beliau berkata RTM juga terus berperanan sebagai pemain utama dalam penyiaran nasional bagi memajukan industri kreatif negara dan melahirkan ikon-ikon besar dalam pelbagai bidang.

"RTM seharusnya bertindak sebagai medium utama bagi membina persepsi rakyat serta menyemarakkan semangat setia dan cintakan negara," katanya dalam kenyataan di sini sempena ulang tahun RTM.

Beliau berkata esok, genaplah 70 tahun RTM menabur bakti dan melakar sejarah dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang aman makmur dan berdaya saing serta dikenali dunia.

"Syabas dan tahniah kepada seluruh keluarga RTM dari dahulu hingga sekarang yang menabur khidmat murni dalam menonjolkan imej baik negara di persada antarabangsa.

"Selamat menyambut ulang Tahun ke-70, Setia Bersama Membina Negara," kata Salleh.

Pada 1 April 1946, RTM atau Jabatan Penyiaran ditubuhkan di Singapura dan kemudian beroperasi sementara di Jalan Young (kini Jalan Cenderasari) di sini pada awal 1950-an.

Kemudian, ia berpindah ke Rumah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1956, yang menyaksikan bidang penyiaran di Malaysia berkembang seterusnya membawa kepada penubuhan beberapa stesen radio di seluruh negara.

Bidang penyiaran terus membuka lembaran baharu apabila Angkasapuri memulakan siarannya pada 6 Okt 1969 sebelum ia bergabung di bawah Kementerian Penerangan pada 17 Nov 1969.



-- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages